steadyaku47

Thursday 14 September 2017

NAJIB DI WASHINGTON : RAFIZI RAMLI : Saya nyaris termuntah....



PENDEDAHAN SEMALAM TEPAT: NAJIB JUMPA TRUMP 30 MINIT, TIDAK BINCANG ISU ROHINGYA SEBALIKNYA GADAI KEPENTINGAN NEGARA
Sejak saya mendedahkan bahawa perjumpaan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bukanlah satu rangka lawatan rasmi (“official visit” atau “official working visit”) atas jemputan Presiden Trump seperti yang mahu digambarkan oleh media propaganda Barisan Nasional, jentera propaganda Barisan Nasional bekerja keras untuk menenggelamkan perkara itu sebelum Dato’ Seri Najib tiba di White House.
Alasan yang digunapakai ialah kononnya perjumpaan itu disenaraikan di laman rasmi White House dan dimasukkan di dalam jadual harian Presiden Trump di Twitter beliau.
Malangnya, tidak ada seorang pun yang menafikan atau mengemukakan fakta yang menidakkan perkara pokok yang saya timbulkan semalam: berdasarkan senarai protokol untuk lawatan rasmi Ketua Negara (“State Visit”) atau Ketua Kerajaan (“Official Visit” termasuk “Official Working Visit”) untuk menentukan sambutan serta kemudahan meraikan tetamu rasmi Presiden Amerika Syarikat, lawatan Dato’ Seri Najib kali ini dikategorikan sebagai lawatan persendirian (“private visit”) oleh seorang Perdana Menteri ke White House.
Oleh sebab itu, satu lagi isu utama yang saya timbulkan ialah kemungkinan besar jemputan dari Presiden Trump kepada Dato’ Seri Najib untuk mengadakan satu pertemuan singkat (yang dikira lawatan persendirian ini) diusahakan oleh khidmat lobi yang dibayar oleh Godfrey Group Limited yang mewakili Pejabat Perdana Menteri, seperti yang saya pernah dedahkan sebelum ini.
Saya yakin perjumpaan yang berlaku semalam (waktu Malaysia) mengesahkan bahawa kedua-dua perkara pokok yang saya timbulkan adalah benar berdasarkan bukti-bukti yang dihuraikan selepas ini.
Bukti Perjumpaan Adalah Lawatan Persendirian (“Private Visit”)
Setakat ini, liputan yang dibuat media rasmi Barisan Nasional seperti yang dilaporkan New Straits Times dan RTM mengesahkan bahawa:

i. Ketibaan Dato’ Seri Najib di Joint Base Andrews in Maryland dengan pesawat rasmi negara tidak disambut dengan satu acara rasmi yang dipanggil “flight line ceremony” yang hanya diberikan kepada lawatan-lawatan rasmi
ii. Delegasi Dato’ Seri Najib menginap di Trump International Hotel dan bukannya Blair House, iaitu rumah tetamu Presiden Amerika Syarikat yang disediakan bagi lawatan rasmi ketua kerajaan
Kedua-dua perkara ini kini sahih dan mengesahkan bahawa maklumat-maklumat yang diberikan oleh sumber rahsia saya seperti yang saya dedahkan semalam adalah tepat.
Perjalanan mesyuarat yang berlaku semalam di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump juga mengesahkan bahawa keseluruhan lawatan ke White House itu, dari pertemuan empat mata di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump sehinggalah mesyuarat di antara pegawai tertinggi Malaysia dan Amerika Syarikat (yang sebelum ini dirujuk sebagai “expanded meeting”), memakan masa hanyalah sekitar 30 minit sahaja.
Ini bertepatan dengan maklumat sulit yang diberikan kepada saya oleh sumber yang boleh dipercayai dan boleh disahkan berdasarkan garis masa dari ketibaan Dato’ Seri Najib di White House sehinggalah berakhirnya “expanded meeting” tersebut, seperti berikut:
i. Dato’ Seri Najib tiba jam 1149 pagi waktu Washington (dirujuk sebagai EDT dan 12 jam lambat berbanding waktu Malaysia, maka 1149 PM di Malaysia adalah 1149 pagi di Washington) seperti yang dilaporkan oleh MSNBC melalui tweet di bawah:
ii. Dato’ Seri Najib kemudiannya ada pertemuan empat mata di Oval Office dengan Presiden Trump. Tiada wartawan atau media dibenarkan, malah sesi bergambar di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump pun dibatalkan di saat-saat akhir. Oleh itu, satu-satunya cara untuk menentukan lama mana pertemuan itu ialah dengan melihat garis masa selepas pertemuan empat mata ini
iii. Selepas itu, Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump menyertai pegawai tertinggi dari delegasi kedua-dua negara untuk mesyuarat dua hala yang dirujuk sebagai “expanded meeting” di dalam jadual Presiden Trump sebelum itu
iv. Transkrip mesyuarat itu yang meliputi ucapan Presiden Trump dan ucapan balas dari Dato’ Seri Najib disiarkan secara penuh di laman White House https://www.whitehouse.gov/…/remarks-president-trump-and-pr…
v. Transkrip mesyuarat itu menunjukkan ucapan Presiden Trump bermula pada jam 12:11 tengahari dan ucapan balas Dato’ Seri Najib berakhir pada jam 12:18 tengahari

Mengambil kira ketepatan masa yang diuruskan di White House dan berdasarkan garis masa di atas, saya boleh menyimpulkan bahawa Dato’ Seri Najib mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Trump selama lebih kurang 10 minit sahaja dan 20 minit lagi dihabiskan di dalam “expanded meeting” yang videonya disiarkan.

Ini mengesahkan maklumat yang saya dapati dari sumber rahsia yang saya dedahkan semalam bahawa perjumpaan ini hanya memakan masa 30 minit sahaja.
Bukti terakhir bahawa maklumat yang diberikan kepada saya semalam adalah sahih ialah tiadanya sidang media bersama di antara Presiden Trump dan Dato’ Seri Najib seperti lazimnya apabila ada satu lawatan rasmi.
Perkara Dibincangkan Mengukuhkan Dakwaan Perjumpaan Adalah Hasil Kerja Melobi oleh Firma Bekas Pembantu Trump
Saya yakin seluruh rakyat Malaysia terkejut mendengar sendiri perbincangan yang berlaku dalam masa 17 minit di antara delegasi Malaysia dan Presiden Trump itu, seperti yang disiarkan di dalam video rasmi dan transkrip rasmi mesyuarat.

Kesemua perkara-perkara bersabit kepentingan negara dan kebajikan umat Islam Rohingya yang digembar gemburkan akan dibawa oleh Dato’ Seri Najib di dalam pertemuan itu langsung tidak disentuh. Sebelum ini, pentadbiran Dato’ Seri Najib memaklumkan perkara-perkara yang menjadikan pertemuan dengan Presiden Trump ini penting untuk negara adalah:
i. Mendapatkan pelepasan visa bagi rakyat Malaysia (rujuk http://www.thestar.com.my/…/pm-expected-to-raise-us-visa-w…/)
ii. Membincangkan nasib umat Islam Rohingya (rujuk https://www.bharian.com.my/…/rakyat-perlu-bersatu-bantah-pe…)
Sebaliknya yang berlaku ialah Dato’ Seri Najib seolah-olah membawa ufti untuk dipersembahkan kerana kesemua perkara yang dibincangkan melibatkan wang rakyat Malaysia yang akan dibawa dan dilabur untuk membeli kapal terbang buatan Amerika Syarikat dan membiayai projek-projek infrastruktur di Amerika Syarikat.
Saya nyaris termuntah melihat Dato’ Seri Najib menjatuhkan martabat rakyat Malaysia dengan membodek Presiden Trump apabila beliau berkata “Number one, we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy. I come with three specific proposals.”
Dalam keadaan rakyat Malaysia menanggung beban percukaian yang tinggi baik dari GST atau cukai pendapatan yang mengejar ramai rakyat Malaysia serta suasana ekonomi yang menekan rakyat akibat kenaikan harga barang, Dato’ Seri Najib ada hati ingin membantu Amerika Syarikat mengukuhkan ekonomi negara itu dengan membawa wang rakyat Malaysia membiayai ekonomi negara tersebut.
Tiga perkara yang dijanjikan oleh Dato’ Seri Najib ialah (i) pembelian pesawat-pesawat baru Boeing oleh MAS dan memujuk AirAsia membeli enjin GE untuk pesawat AirAsia, (ii) mengarahkan KWSP membawa masuk wang sehingga RM16 bilion untuk membiayai pembangunan infrastruktur di Amerika Syarikat dan (iii) menambah lagi pelaburan Khazanah di Amerika Syarikat dari jumlah RM1.6 bilion yang sedia ada.
Saya akan menumpukan usaha saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan untuk memastikan ketiga-tiga tindakan bacul Dato’ Seri Najib yang menggunakan wang rakyat ini tidak akan berjaya.
Sebab itu saya mengulangi bahawa keseluruhan perbincangan semalam adalah berkisar kepada “bayaran ufti” yang perlu dibuat oleh Dato’ Seri Najib demi untuk mendapatkan masa 30 minit untuk bergambar dengan Presiden Trump.
Ini bukanlah satu jemputan hasil dari pengiktirafan Presiden Trump kepada kecekapan dan kehebatan Dato’ Seri Najib, saya melihatnya sebagai satu jemputan yang diaturkan melalui lobi kerana ia hanyalah menguntungkan pihak Amerika Syarikat semata-mata.
Saya akan meneruskan siri pendedahan mengenai lawatan “membayar ufti” yang menggadaikan kepentingan negara ini selepas ini setiap hari.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN



No comments:

Post a Comment