steadyaku47

Wednesday 2 August 2017

Hassan Karim : Sahabatku Zahid Hamidi



Warkah Terbuka kepada Zahid Hamidi

Sahabatku Zahid,
Kenapa aibkan Tun Dr Mahathir (Tun M) sampai macam ini?
Kenapa ungkit ungkit asal usulnya 
Apa yang salah berkenaan asal usul Tun M?
Bukankah Tun M, Zahid dan saya juga,kita semua sama sama ciptaan Tuhan?
Apa lebihnya asal usul keturunan kita pula? 

Zahid sahabatku,
Kalau Tun M ada buat salah semasa beliau jadi Perdana Menteri selama 22 tahun, maka kritiklah dia secara jujur. Kalau perlu dedahkan kesilapan pentadbirannya,dedahkanlah scars objektif dengan disokong fakta sebagai bukti.Tetapi apa perlunya membangkit bangkitkan asal usul Tun M Di khalayak ramai seperti sengaja untuk memalukannya?
Orang Melayu berkebudayaan tinggi tidak buat macam itu Zahid.
Orang Islam yang menolak faham asabiah atau perkauman sempit tidak akan buat seperti apa yang Zahid buat itu. 
Sahabatku Zahid,
Ini warkah terbuka untukmu.
Apakah masih kenal saya sahabatmu yang bernama Hassan Karim?
Kita sama sama kawan baik semasa di Universiti Malaya awal tahun 70an dulu?
Saya malu Zahid dengan perbuatanmu. Terlajak perayu boleh diundur. Terlajak cakap, buruk padahnya. 
Saya tahu anda berkuasa sekarang. Anda Timbalan Perdana Menteri. Anda orang nombor 2 dalam kerajaan. Tetapi kerana saya anggap anda sahabat baik saya dari dulu sampai sekarang walaupun kita berbeza pendirian politik, maka saya memberanikan diri untuk menegur dan mengkritik anda secara terbuka kali ini. 
Saya malu Zahid dengan keceluparan anda menghina Tun M sampai begitu sekali. Saya juga tak kurangnya dalam mengkritik Tun M. Malahan saya menentang Tun M semasa Dia menjadi PM dulu. Zahid pun tahu hal ini. Tetapi kita buat secara beradab.Soal soal amat peribadi seperti asal usul seseorang kita tidak jaja jajakan Di khalayak ramai. 
Saya tahu sahabatku Zahid Juga Menteri Dalam Negeri yang jaga polis dan penjara. Kalau Zahid hendak tangkap saya, tangkaplah. Saya tidak akan lari. kalau Zahid hendak tuduh saya dengan Akta Hasutan atau Akta Komunikasi dan Multimedia, tuduhlah. Saya tidak akan padam Warkah Terbuka ini. 
Biarlah Warkah ini menjadi bukti bahawa di umur usia emas seperti ini, sebagai sahabat baikmu, saya bangun bersuara mengkritik saudara.
Sekian, sahabatku Zahid. 
Yang benar

Hassan Karim
Pontian, Johor
1 Ogos 2017




No comments:

Post a Comment