steadyaku47

Thursday 12 February 2015

Dan kamu terperanjat mengapa Australia itu negaraku?

steadyku47 comment: With thanks to Rakyat Times for the translation into Bahasa of my article : And you wonder why I call Australia Home. 

Dan kamu terperanjat mengapa Australia itu negaraku?

imgPada tahun 70an dan 80an, pandangan, fikiran, dan pemahaman saya tentang semua perkara yang berlaku di Bolehland diwarnai oleh satu premis, iaitu:
Insiden 13 Mei berlaku kerana orang Cina telah memenangi beberapa kerusi Parlimen.
Mereka berarak di jalanan secara keterlampauan, dan menyuruh orang Melayu 'balek kampong'.
Dato Harun Idris bertindak dengan mengumpul beberapa orang Melayu dan turun ke jalanan untuk membunuh beberapa orang Cina.
Tentera dan polis memainkan peranan dengan mewujudkan ketakutan di kalangan orang Cina, dan tidak lama selepas itu, orang Melayu kembali berkuasa ke atas semua perkara di Malaysia. Tunku disarakan, dan Tun Razak menjadi PM.
Dan kebanyakan orang Melayu menganggap Dato Harun sebagai seorang hero!
Malaysia menjadi milik orang Melayu. Kerajaan dikuasai oleh orang Melayu, perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu, dan tentera dan polis dijawat dan dikawal oleh orang Melayu. Kita sebagai orang Melayu boleh berbuat suka hati, dan orang Cina dan India tidak ada kuasa untuk membuat apa- apa!
Apa yang tinggal adalah untuk UMNO menjadikan seluruh Malaysia milik Melayu! Jadi, konsep 'ketuanan Melayu' diwujudkan—atau dahulunya dikenali sebagai 'status Bumiputera'. Konsep ketuanan ini dijadikan jauh lebih utama daripada semua perkara lain, termasuk pendidikan, pekerjaan, peluang perniagaan...dan KEHIDUPAN.
Agama...ataupun Islam tidak diungkitkan sama sekali. Untuk dianggap sebagai seorang Muslim yang taat kepada ajaran agama, seseoarng ahli politik hanya perlu menghadiri Solat Jumaat di Masjid Negara, berarak pada sambutan Maulidur Rasul, dan mungkin menziarahi Mekah untuk mendapatkan gelaran 'Haji', yang boleh ditambah kepada gelaran 'Dato' atau 'Tan Sri'.
Saya begitu pasti, begitu yakin, dan begitu angkuh kerana kedudukan istimewa saya sebagai orang Melayu di Malaysia. Tidak lintas pun di fikiran yang semuanya boleh berubah...atau saya boleh berubah.
Jadi, apa yang berubah?
Apabila saya memasuki dunia perniagaan saya telah bersaing dengan Pernas untuk berniaga.
Siapa yang awak kenal?
Hubungan—atau siapa yang dikenali—menjadi perkara utama dalam menentukan jenis perniagaan apa yang boleh dilakukan, dan jenis perniagaan apa yang boleh dijamin.
Saya terpaksa memberi rasuah kepada ahli politik Melayu untuk mendapat tender kerajaan.
Walaupun saya mempunyai hubungan dengan orang berpengaruh, rasuah tetap harus dibayar.
Sementara kami bertungkus lumus mencari duit, ahli politik UMNO duduk senang dan menjadi kaya dengan duit rasuah. Segala apa yang kami usahakan, mereka meminta sebahagiannya.
Misalnya, jika kamu berjaya menyiapkan sebuah projek pembinaan mengikut spesifikasi, dan masih tidak terima duit, siapa yang harus dipanggil?
Jika kamu kenal menteri, kamu panggil menteri. Jika kamu tidak kenal memedi...err menteri, kamu cari pihak yang rapat dengannya. Mungkin ketua pemuda bahagiannya, mungkin saudaranya, mungkinadiknya. Mana-mana pihak yang boleh menjanjikan perhatian menteri itu menjadi seorang 'kawan.'
Karaoke, spa dan urut masaj
'Kawan' ini akan meminta perbincangan diadakan sambil minum teh di hotel five-star. Makan malam juga mahu di hotel five-star, tetapi beliau hanya akan cukup 'terhibur' selepas waktu makan malam.
Bawa 'kawan' kamu ke karaoke. Bawanya ke spa. Bawanya untuk diurut. Ataupun bawanya ke sebuah 'tempat istirehat' di bandar dan bayar upah seorang pelacur.
Dalam masa beberapa hari, kamu akan mendapat panggilan dari hubungan kamu dalam JKR. Beliau akan berkata bayaran kamu akan dibuat dalam masa seminggu.
Apabila saya diberhentikan polis untuk apa-apa kesalahan trafik, mereka akan meminta sedikit wang untuk 'settle.' Saya tidak pernah membayar rasuah itu.
Dan saya masih boleh terlepas kerana saya masih tahu cara menakutkan mata-mata, inspektor, dan penguasa ini.
Ada satu ketika dahulu saya telah pergi ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPK Selangor untuk membuat laporan polis terhadap pengurus pejabat saya yang mencuri duit syarikat.
Seorang ASP berkata adalah sukar untuk membuktikan jenayah itu, blah, blah, blah. Saya mengeluarkan telefon bimbit dan memanggil pegawai atasannya, dan memberikannya telefon. Saya memintanya memberitahu bos apa yang diberitahu kepada saya.
Wajahnya tiba-tiba bertukar apabila sedar siapa di hujung telefon. Tidak hairanlah kenapa pengurus pejabat itu ditahan pada hari yang sama, dan saya mendapat balik wang yang dicuri.
Saya semakin sedar betapa korupnya kerajaan BN ini, dan juga bahawa kelakuan saya akan menjadikan situasi ini lebih teruk. Jadi saya mengambil keputusan untuk keluar Malaysia bila ada peluang.
Boikot Cina
Hari ini, orang Melayu diminta untuk boikot kedai Cina untuk memberi mereka satu pengajaran—jangan menaikkan harga barang untuk orang Melayu sahaja.
Tetapi orang Cina di Malaysia masih bertekad untuk mengharungi apa-apa cabaran yang diwujudkan oleh orang Melayu. Mereka dapat berbuat sedemikian kerana anak-anak mereka menerima pendidikan yang baik, semangat cekal dan rajin, serta komitmen mereka untuk berjaya dalam perniagaan dan dalam kehidupan.
Mereka dapat menghantar anak ke luar negara untuk belajar; dan bila tamat pelajaran, anak mereka ini akan terus tinggal di luar negara, mendapat PR, kemudian mendapat kewarganegaraan, dan membawa ibu bapa mereka ke negara baru.
Orang India juga menjaga satu sama lain, tetapi kerana semua orang lain tidak memihak kepada mereka.
Mereka akan memihak kepada sesiapa yang berjanji untuk menolong komuniti India; janji-janji ini tidak pernah ditepati, tetapi orang India ini seolah-olah lahap hukuman. Dan bila tiada pilihan lain—puasa sampai mati!
Kepada orang Sabah dan Sarawak, rakyat Semenanjung tetap akan kekal sebagai orang luar. Ini terbukti dengan hakikat bahawa mereka mengawal siapa yang dapat masuk keluar negeri-negeri tersebut, dan bukan kerajaan pusat.
Orang Muslim memandang rendah terhadap agama lain dan menekankan hukum Islam, seolah-olah tidak sedar bahawa orang lain juga ada kepercayaan dan agama masing-masing.
Orang Kristian percaya bahawa jika mereka dapat menyampaikan mesej mereka kepada orang Melayu, orang Melayu akan meninggalkan agama Islam dan masuk agama Kristian.
Orang Kelantan akan terus bertahan dengan PAS. Walau apapun yang berlaku kepada rakyat Kelantan, mereka akan memastikan bahawa parti Melayu yang satu lagi, UMNO, tidak akan lagi berkuasa di Kelantan.
Kerajaan pusat yang didominasi orang Melayu tidak akan sekali-kali memberikan orang Melayu di Kelantan royalti minyak Petronas.
Sultan Johor menjual tanah negeri kepada pelabur dari China.
Hampir kesemua parti politik di Malaysia diwujudkan atas dasar kaum, dasar agama, ataupun kedua- duanya sekali.
Dan keadaan ini tidak berubah. Hari-hari tidak berubah.
Dalam kerajaan negeri, dalam parlimen, dalam gereja, dalam masjid, dalam kuil...di antara semua garis pembahagian ini terdapat sebuah negara yang dipanggil Malaysia...terdapat ramai orang Malaysia yang bekerja keras untuk menjaga kepentingan kaum sendiri, agama sendiri, politik sendiri, kemahuan dan kehendak sendiri...tetapi bukannya kepentingan negara, bukannya keperluan negara, bukannya aspirasi negara, dan tidak mengendahkan akibat pemikiran sempit ini kepada generasi-generasi akan datang.
Apa yang akan diwarisi oleh anak-anak kita daripada cara hidup ini?
Mungkin keadaan kita begitu gawat sehingga tiada masa untuk melakukan apa-apa perkara lain selain daripada mencari rezeki...dan rezeki jenis apa?
Mungkin kita semua telah sedar bahawa keadaan negara ini sudah parah dan tidak boleh kembali sihat, jadi kita akan mengambil apa yang boleh, dan pergi lantak orang lain dan generasi akan datang.
Mungkin fikiran kita hanya tertumpu kepada usaha untuk keluar dari kemelut ini, dan satu-satunya cara adalah untuk berenang meninggalkan kapal yang makin karam ini.
Siapa yang cukup bodoh atau berani untuk menolong pihak-pihak yang cuba menyelamatkan kapal karam ini? Dan pihak ini ramai, walaupun kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai motif ikhlas.
Mereka tahu bahawa jika kapal ini karam, harta karun yang ada di dalam kapal tersebut akan karam juga.
Jadi mereka sebenarnya berusaha menyelamatkan diri sendiri, dan bukan orang Malaysia.
Makin hari makin pertalian di antara semua rakyat Malaysia diputuskan. Kita memilih kegetiran dan bukannya pemahaman; kebencian dan bukannya cinta; dan memandang hina terhadap agama, budaya, dan cara hidup orang lain, dan bukannya pemahaman hakikat bahawa kita sepatuntnya bersatu dalam saat-saat genting.
Ini adalah keadaan yang sememangnya gila. Kita makin bergerak ke ambang kemusnahan, di mana semua perkara yang kita cinta dan nilai yang kita hargai akan hancur. Dan bila keadaan itu berlaku kita semua akan merana...walaupun terdapat pihak yang ingin membawa kemusnahan ini semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik.
Garis pembahagian menjadi makin ketara.
Hakikat bahawa kita sebagai orang dewasa saling benci-membenci tidak cukup...kebencian ini disemaikan dalam anak-anak kita juga.
Adakah sikap rasional dan akal budi akan terserlah? Ataupun adakah kita sudah terlalu jauh terbenam dalam kebencian dan ketakutan, yang kita akan membiarkan pihak yang mengamalkan prasangka perkauman dan extremisme keagamaan memusnahkan apa yang telah kita bina selama berdekad, sehingga tahap membunuh orang lain yang tidak sependapat dengan mereka?
Kalau kita berhenti dan berfikir tentang situasi negara ini—yang disifatkan oleh korupsi; kebencian kaum dan fikiran extremis yang membolehkan pembahagian masyarakat dan penindasan orang bukan Islam; sikap 'tidak apa' yang membolehkan yang kaya menindas yang miskin, yang kuat menindas yang lemah...kesemua hakikat ini menunjukkan bahawa Malaysia terperangkap dalam krisis. Dengan rakyat yang berperang antara satu sama lain.
Dan kita tanya kenapa situasi sudah menjadi parah.
Hakikatnya, ramai orang Malaysia telah dijadikan rasis dan fanatik agama yang tidak boleh menerima atau bertoleransi dengan orang lain.
Tetapi saya memilih untuk hidup dengan cara lain.
Melihat tanpa lensa
Agama, kaum, warna kulit, bahasa, jantina, umur...saya tidak melihat sesiapapun melalui prisma ini.
Saya memperlakukan orang lain seperti saya ingin diperlakukan. Jika menemui seseorang buat kali pertama, saya akan melayan mereka dalam cara yang saya ingin dilayani.
Jika dapat berkenalan, saya akan cuba melihat peribadi sebenar orang itu, dan menyesuaikan diri dengan peribadi tersebut.
Jika saya ditahan untuk kesalahan trafik, saya akan menerima hukuman. Tiada rasuah atau rayuan.
Apabila saya kembali ke Australia enam tahun yang lepas, tempoh PR saya sudah tamat kerana saya telah meninggalkan negara itu untuk terlalu lama. Saya pergi ke Kedutaan Australia di KL, dan seorang perempuan Cina berada di kaunter. Beliau berkata bahawa PR saya tidak boleh diperbaharukan.
Entahlah kalau beliau bersikap rasis, atau hanya menurut perintah. Walau bagaimanapun, saya membei tiket sehala ke Adelaide untuk bersama isteri dan anak saya, dengan harapan bahawa pihak imigresen
Australia boleh menyelesaikan situasi ini.
Di jabatan imigresen, saya diminta untuk memohon semula untuk status PR. Tiga minggu selepas menghantar permohonan baru, saya mendapat panggilan daripada jabatan imigresen dan diberitahu status PR saya akan dikembalikan. Tiada drama langsung!
Dalam bertahun-tahun isteri dan anak saya tinggal di KL, saya telah cuba mendapatkan status PR buat mereka. Sepucuk surat dari pejabat Pak Lah (sewaktu beliau menjadi Menteri Luar Negeri) pun tidak dapat membantu.
Kenapa? Kerana saya enggan membayar rasuah kepada pihak berkuasa. Jadi isteri dan anak saya tidak pernah mendapatkan PR.
Dan kamu bertanya kenapa saya duduk di Australia?
Ini adalah tulisan seseorang yang tahu apa yang telah, sedang, dan akan dilalui oleh orang bukan Melayu selagi mereka tinggal di Malaysia.
Adakah keadaan akan berubah? Jika kamu bertanya soalan itu kepada diri sendiri, saya sudah tahu jawapannya adalah "Tidak!" Kerana kamu dan saya tahu bahawa UMNO akan mencekik negara ini sampai mati. Orang Melayu sudah dijahanamkan oleh UMNO! Jadi tiada lagi harapan untuk negara ini.
Mungkin dengan peredaran masa orang Melayu akan mendapat tahu siapa mereka sebenarnya, dan apa yang mereka perlukan. Tetapi ini tidak akan berubah dalam jangka hidup saya. Hakikatnya, satu-satunya perkara yang penting ialah bagaimana anda jaga diri sendiri dan orang yang dikasihi.
Fikir dan lakukan apa yang kamu rasa adalah benar dan betul. Itulah cara hidup saya sekarang. Tidak kesal, tidak sedih meninggalkan sebuah negara yang pernah saya cintai.
Hidup akan berterusan. - Steadyaku47

No comments:

Post a Comment